Sambutan luar biasa diterima bagi aksi terakhir ACLE antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Vissel Kobe, apabila tiket perlawanan tersebut dilaporkan habis dijual.
Perkara itu disahkan menerusi kemas kini jualan tiket yang diumumkan JDT di platform rasmi kelab pada Isnin, sekali gus menggambarkan keghairahan tinggi penyokong menjelang perlawanan penting itu.
Menurut kenyataan kelab, semua tiket telah terjual sepenuhnya secara dalam talian.
“Tiket untuk perlawanan Liga Juara-Juara AFC Elite antara Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Vissel Kobe pada 17 Februari 2026 telah habis dijual secara dalam talian.
“Terima kasih kepada semua penyokong yang menunjukkan sokongan luar biasa untuk perlawanan ini. Luaskan Kuasamu Johor,” kata JDT menerusi kenyataan di media sosial rasmi mereka.
Fenomena ‘sold out’ ini bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan pertembungan tersebut dianggap sebagai aksi penentuan buat Harimau Selatan.
JDT memikul misi wajib meraih kemenangan bagi memastikan slot ke pusingan 16 terbaik AFC Champions League Elite (ACLE) musim ini menjadi milik mereka tanpa perlu bergantung kepada keputusan pasukan lain.
Dengan tekanan, kepentingan mata, serta kelebihan beraksi di laman sendiri, perlawanan ini dijangka berlangsung dalam suasana penuh intensiti di Stadium Sultan Ibrahim.
Aksi terakhir ACLE yang menemukan JDT dan Vissel Kobe dijadualkan berlangsung pada Selasa, pukul 8.15 malam di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
