KUANTAN: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad hanya mahukan kemenangan apabila melayan kunjungan Sabah FC pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Ahad ini.
AGGREGATE TERKINI.
SABAH 1-1 SRI PAHANG.
Legenda bola sepak Singapura itu berkata, biarpun bakal berdepan tentangan sengit daripada lawan, skuad Tok Gajah akan memanfaatkan peluang di laman sendiri untuk menewaskan Sabah.
“Saya hanya mahukan kemenangan dan pemain seharusnya mempamerkan persembahan menyakinkan dan terbaik untuk layak ke final Piala Malaysia.
“Persembahan perlu lebih baik terutama di bahagian serangan selepas banyak peluang dilepaskan ketika seri 1-1 berdepan Kuala Lumpur City FC pada aksi Liga Super Ahad lalu,” katanya.
Aksi separuh akhir kedua itu dijangka lebih menarik kerana kedua-dua pasukan berpeluang untuk mengisi slot final selepas terikat 1-1 dalam aksi pertama.
Kali terakhir Sri Pahang melangkah ke final piala berprestij itu pada 2014 dan bergelar juara pada musim itu selepas menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT).