Belum reda isu VAR , Sony Norde yang terang-terang mengkritik pengadil pada malam perlawanan yang lepas di Stadium Darul Aman, bakal menerima padanya. Kemungkinan besar akan digantung perlawanan dalam separuh akhir kedua nanti di stadium Sultan Ibrahim.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamarudin Abdullah menjelaskan mengkritik pengadil secara terbuka sememangnya satu kesalahan di bawah kod disiplin FAM sekali gus pemain itu perlu bersedia untuk menanggung akibat atas tindakannya itu.
“Ada kemungkinan paling tinggi untuk hukuman dikenakan adalah penggantungan beberapa perlawanan tetapi itu terserah kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM. Memang ada diperuntukkan hukuman kerana mengkritik pengadil adalah satu kesalahan berat.
“Jadi pemain itu perlu bersedia dengan penggantungan ataupun denda yang akan diputuskan Jawatankuasa Tatatertib FAM nanti,” kata Kamarudin.
Sementara itu, peguam undang-undang sukan, Zhafri Aminurashid turut berpandangan pemain dari Haiti itu berkemungkinan boleh dikenakan denda ataupun penggantungan selepas kenyataan dikeluarkan itu dilihat melanggar Artikel 61.
“Artikel 61 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 91 Statut FAM 2023 menyebut pegawai atau pemain tidak boleh membuat apa-apa kenyataan kepada media, secara lisan atau bertulis tanpa kelulusan atau kebenaran bertulis atau lisan daripada Jawatankuasa Eksekutif seperti yang dinyatakan di bawah Statut FAM atau peraturan-peraturan atau arahan-arahan atau pekeliling yang dikeluarkan.
“Jika benar, dia boleh dikenakan penggantungan dan denda. Pemain sepatutnya menyerahkan ketidakpuasan hatinya kepada kelab untuk membuat aduan ke Jawatankuasa Pengadil,” kata Zhafri.
Sebelum ini, pemain dan jurulatih Liga Malaysia (Liga M) pernah digantung antaranya pemain Selangor FC (SFC), Faisal Halim yang digantung selama sebulan oleh FAM selepas mengeluarkan kenyataan ketika temu ramah media selepas berdepan Sabah FC pada April 2023.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman menerusi satu kenyataan menjelaskan, Faisal dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib selepas didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media) menerusi kenyataan yang dikeluarkannya itu.
Meskipun tidak dinyatakan secara khusus kenyataan yang dilontarkan Faisal namun difahamkan ia merujuk kepada kenyataan penyerang kebangsaan itu yang mendakwa banyak pihak ingin menjatuhkan Selangor.
Bekas jurulatih Pahang, Dollah Salleh juga pernah digantung 18 bulan serta dikenakan denda RM3,000 kerana mengkritik mutu pengadilan pada 2017 namun FAM hanya mengenakan penggantungan sembilan bulan pertama ke atas Dollah.
Bekas pegawai Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya juga pernah digantung dua bulan dan dikenakan denda RM10,000 pada 2022 kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh memberikan impak negatif ke atas nama baik dan reputasi FAM selain daripada mengecam mengenai urusan pentadbiran hal-ehwal FAM (kepengadilan) atau pengelolaan Liga M.
Namun Rezal hanya dikenakan penggantungan selama satu bulan pertama dan baki satu bulan kedua adalah ditangguhkan tertakluk kepada kepada kelakuan baik.
Terdahulu, Sony tampil meluahkan meluahkan kekecewaannya mengenai mutu pengadilan, Muhammad Nazmi Nasaruddin pada aksi separuh akhir pertama Piala FA yang berkesudahan skuad Kenari tumpas 1-2 di Stadium Darul Aman.
Katanya, pada aksi tersebut terdapat kekasaran telah dilakukan terhadap pemain tengah Kedah Habib Haroon sebelum JDT memperoleh gol pertama pada minit ke-23 dan ia disusuli peluang sepatutnya mendapatkan sepakan penalti apabila bola dilihat terkena tangan pemain pertahanan JDT, Shahrul Saad ketika hujung babak perlawanan.
“Selepas beraksi lima tahun di Malaysia, saya dapati ia cukup memalukan membabitkan keputusan yang dibuat pengadil perlawanan,” katanya.