Jika Selangor FC berjaya menundukkan BG Pathum United, tiga rekod penting berpotensi tercatat dalam kempen ACC Shopee Cup 2025–26, sekali gus mengukuhkan kedudukan kelab itu sebagai antara pasukan paling konsisten di Asia Tenggara ketika ini.
Skuad kendalian Kim Pan-gon dijadualkan melayani kunjungan wakil Thailand tersebut dalam aksi kelima Kumpulan A di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, malam Rabu.
Kemenangan ke atas pasukan bimbingan Masatada Ishii bukan sahaja bakal melakar pencapaian baharu, malah mengukuhkan reputasi Selangor FC sebagai kuasa besar serantau yang semakin stabil dari segi prestasi dan struktur pasukan.
Antara rekod utama yang menanti Gergasi Merah Kuning ialah peluasan rekod tanpa kalah di peringkat kumpulan kepada lima perlawanan berturut-turut. Setakat ini, Selangor mendahului Kumpulan A hasil dua kemenangan dan dua keputusan seri, dengan kelebihan satu mata ke atas BG Pathum yang mengumpul tujuh mata.
Selain itu, kemenangan juga bakal membuka laluan lebih cerah buat Selangor untuk melangkah ke pusingan seterusnya, sekali gus menebus kekecewaan selepas kempen kurang memberangsangkan dalam saingan AFC Champions League Two (ACL2) musim ini.
Dari sudut pengendalian pasukan, Kim Pan-gon berpeluang mengekalkan rekod 100 peratus tanpa tewas sejak mengambil alih Selangor, selepas mencatat lima kemenangan dan satu seri daripada enam perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.
Kekuatan jentera serangan yang diketuai oleh Faisal Halim dan Chrigor Moraes, yang juga pendahulu carta penjaring terbanyak Liga Super 2025–26 dengan 16 gol, memberi kelebihan signifikan buat Selangor beraksi di laman sendiri.
Kehadiran pemain import baharu seperti Jeon Seung-min dan Vitor Pernambuco turut dijangka menyuntik keyakinan serta moral pasukan menjelang pertembungan penting menentang BG Pathum United malam ini.
