Rekod pertemuan lalu membabitkan Malaysia dan Nepal dilihat memberi kelebihan kepada skuad negara.
Berdasarkan rekod rasmi semasa, Harimau Malaya masih belum tewa kepada The Gorkhalis dalam tujuh perlawanan. Ini termasuk lima kemenangan dalam lima aksi terakhir kedua-dua pasukan.
Rekod 5 Pertemuan Terakhir Malaysia vs Nepal Curi Perhatian
Rekod ini tidak termasuk perlawanan tidak rasmi skuad negara dengan Nepal pada Mac 2024. Perlawanan itu menyaksikan Malaysia menewaskan Nepal 5-1.
Kemenangan terbesar Malaysia ke atas Nepal direkodkan dalam aksi Pestabola Merdeka 1983. Aksi yang berlangsung pada 19 September 1983 menyaksikan Harimau Malaya menang 7-0.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah aksi persahabatan yang berlangsung pada 2 Jun 2019. Perlawanan itu berakhir dengan kemenangan 2-0 buat Harimau Malaya.
Penalti Safawi Rasid dan gol Shahrul Saad memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan yang dibimbing Tan Cheng Hoe ketika itu.
Aksi ini turut menyaksikan Faisal Halim dan Dominic Tan meraih penampilan pertama mereka bersama Harimau Malaya.
Menariknya, beberapa pemain yang pernah beraksi dalam perlawanan itu dipanggil Peter Cklamovski untuk aksi menentang The Gorkhalis.
Selain Safawi, Shahrul dan Faisal, bekas pengendali FC Tokyo itu turut menyenaraikan Matthew Davies, Corbin Ong dan Akhyar Rashid.
Rohit Chand menjadi satu-satunya pemain Nepal yang dipanggil dari skuad tahun 2019 oleh jurulatih baru mereka, Matt Ross.
Meskipun mengetengahkan ramai pemain muda, itu bukan halangan buat The Gorkhalis menundukkan Singapura dalam aksi persahabatan pada 21 Mac lalu.
Keputusan ini dilihat amaran buat Harimau Malaya agar tampil lebih jitu jika ingin mempertahankan rekod tanpa kalah mereka dengan Nepal.
Aksi pada 25 Mac ini bukan saja peluang buat Harimau Malaya meraih kemenangan pertama untuk kempen kelayakan Piala Asia 2027.
Malah, ini juga penampilan pertama buat Cklamovski sebagai jurulatih selepas menggantikan pengendali Sepanyol, Pau Marti Vicente.
Aksi ini juga berpotensi menjadi penampilan pertama buat dua tonggak warisan baharu Malaysia, Gabriel Palmero dan Hector Hevel.