Eh, sendiri salah, sendiri lapor Polis, SPRM. Kalau dah salah kena lah terima. Namun mereka ada alasan yang tersendiri.
Kuala Lumpur: Satu laporan polis dan satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dilakukan selepas Jawatankuasa First Instance Body (FIB) mengesahkan wujud kesalahan dokumen membabitkan permohonan Lesen Kebangsaan bagi Kuala Lumpur City FC (KL City).
Pengarah KL United FC Sdn Bhd, Syed Yazid Syed Omar berkata, pihaknya akan membuat dua laporan terbabit kerana ia nyata menyalahi undang-undang apabila soal integriti boleh dipersoalkan.
Katanya, laporan polis dan SPRM akan dibuat masing-masing kepada pegawai pentadbiran KL City FC dan FIB yang disifatkan gagal menangani dari awal termasuk memberi Lesen Kebangsaan kepada skuad The City Boys.
“Kita akan membuat laporan agar perkara ini disiasat dengan telus dan baik. FIB perlu bertanggungjawab kerana mereka adalah pihak yang memberi lesen.
“Seharusnya mereka menyemak terlebih dulu dengan teliti, tetapi sebaliknya percaya bulat-bulat dengan dokumen diserahkan.
“Sepatutnya FIB semak betul-betul dokumen yang diberi. Kita tak tahu mungkin wujud salah laku lain, hingga dokumen itu mudah diluluskan.
“Bukan saya mahu menuduh, tetapi ia perkara yang boleh berlaku dan kita mahukan siasatan dilakukan,” katanya kepada Arena Metro.
Terdahulu, FIB mengesahkan hasil semakan dokumen diserahkan KL City FC berkenaan caruman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengandungi maklumat tidak tepat/tidak benar berdasarkan pengesahan daripada agensi kerajaan melalui emel kepada FIB.
Malah agensi berkenaan tidak dapat mengesahkan kesahihan dokumen yang diserahkan oleh KL City FC kepada FIB sebelum ini.
Maklumat ini jelas bercanggah dengan dokumentasi sudah diserahkan kepada FIB sebelum tarikh akhir penyerahan dokumen kriteria kewangan pada 31 Ogos 2023 untuk Lesen Kebangsaan dan 31 Mac 2024 untuk lesen AFC.
Susulan itu, FIB memberi tempoh sehingga 30 September 2024 kepada KL City untuk menyelesaikan semua tunggakan gaji pemain dan pegawai yang sangkut sejak awal musim ini dengan tiga bentuk hukuman iaitu denda pemotongan enam mata, denda RM50,000 dan larangan perpindahan pemain akan dikuatkuasakan.
Jelas Syed Yazid, denda pemotongan enam mata diumumkan FIB tidak adil kerana pasukan berkenaan terdiri daripada pemain dan jurulatih yang tidak bersalah, sebaliknya pegawai pentadbiran kelab yang perlu dipersalahkan.
“Bila mereka umum nak potong mata, pemain KL City kecewa kerana kemenangan mereka dalam liga (Liga Super) akan dipotong. Tiga mata itu adalah hasil titik peluh pemain yang berusaha biarpun tak ada gaji.
“Tapi FIB main suka-suka nak potong. Kalau mereka nak potong, KL City tidak teragak-agak menarik diri daripada bertanding lagi.
“Kami akan bayar tunggakan gaji pemain, tetapi tak akan bermain sebagai tanda protes terhadap pemotongan mata itu yang sebenarnya tidak adil buat pemain. Orang lain buat hal, pemain pula jadi mangsa,” katanya.