Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon mengakui gembira apabila pasukannya berjaya mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir Shopee Cup.
Bagaimanapun, bekas jurulatih Harimau Malaya itu menegaskan perjalanan Selangor masih jauh dan menuntut anak buahnya supaya kekal fokus serta tidak cepat berpuas hati.
“Saya fikir ini satu langkah ke hadapan. Masih banyak perkara yang perlu kami lakukan, jadi kami perlu kekal sederhana.
Kami belum sampai ke tahap yang kami mahukan. Justeru, kami perlu terus bekerja keras dan kekal fokus setiap kali beraksi,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.
Selangor mengesahkan tiket ke separuh akhir selepas terikat 1-1 menentang BG Pathum United di Stadium MBPJ.
Walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain, The Red Giants terlebih dahulu mendahului perlawanan menerusi jaringan kapten pasukan, Faisal Halim pada separuh masa pertama.
BG Pathum kemudian menyamakan kedudukan hasil gol sendiri pemain pertahanan Selangor, Richmond Ankrah. Usaha pasukan kendalian Masatada Ishii untuk mencari gol kemenangan tidak membuahkan hasil apabila keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan itu menyaksikan Selangor menjadi pasukan ketiga mengesahkan kemaraan ke separuh akhir, menyertai Thep Xanh Nam Dinh FC dan juara bertahan, Buriram United.
Sementara itu, satu lagi wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang cerah mara ke separuh akhir selaku juara Kumpulan B apabila bakal menentang Nam Dinh di Stadium Thien Truong, Khamis ini.
