Skuad bawah 19 tahun negara kini sedang berjuang hebat di Surabaya, Indonesia dalam saingan ASEAN U-19 Boys Championship dengan mencatatkan 2 kemenangan besar ke atas Brunei dan Singapura. Perlawanan tumpuan pada khamis esoknya pastinya menjadi taruhan terakhir buat kedua pasukan sebab siapa yang menang akan bertemu dengan pasukan Tuan rumah, Indonesia. Malaysia pula hanya perlukan seri dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan C. Masing-masing dah layak, cuma juara kumpulan kita tak tahu lagi.
Pada aksi pertama, anak-anak buah Juan Torres garang membelasah Brunei 11-0 sebelum meraih tiga mata sekali lagi dengan menewaskan Singapura 5-0 dalam aksi kedua pada Isnin lalu.
Persembahan memukau skuad harimau muda membuatkan jurulatih Thailand, Emerson Pereira kagum menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan C membabitkan kedua-dua negara pada Khamis.
Sebelum itu dia cakap dia yakin boleh tewaskan pasukan rival mereka, Malaysia.
“Bagi saya, Malaysia adalah pasukan yang baik. Mereka memiliki pemain sayap yang baik di kedua-dua bahagian sayap. Tetapi saya percaya kepada pasukan dan pemain saya,” ujarnya seperti yang dilaporkan TheThao247.
Thailand kini menghuni tangga kedua kumpulan, berkongsi 6 mata bersama Malaysia namun skuad negara memiliki kelebihan dari segi jaringan setelah merekodkan 16 gol tanpa bolos.
Pertembungan Thailand dan Malaysia bakal berlangsung pada Khamis, jam empat petang waktu Malaysia bagi menentukan kedudukan juara dan naib juara kumpulan C.