Johor Darul Ta’zim (JDT) berpeluang meraih ‘habuan’ besar sekiranya berjaya menewaskan Thep Xanh Nam Dinh FC dalam perlawanan terakhir Kumpulan B saingan Shopee Cup.
Pertemuan Nam Dinh menentang JDT menjadi antara aksi paling dinanti peminat apabila kedua-dua pasukan kini menghuni kedudukan teratas Kumpulan B.
JDT hadir ke bumi Vietnam dengan misi jelas memburu kemenangan mutlak, manakala Nam Dinh pula hanya memerlukan keputusan seri untuk kekal di puncak kumpulan.
Sekiranya menang, JDT akan melonjak ke tangga teratas Kumpulan B dengan 13 mata selepas lima perlawanan, memintas Nam Dinh yang ketika ini mengumpul 12 mata.
Lebih menarik, kemenangan itu juga bakal menyaksikan skuad Harimau Selatan melebarkan rekod tanpa kalah dalam semua kejohanan musim ini kepada 14 perlawanan, sejak kali terakhir tewas kepada Melbourne City pada November lalu.
Malah, kejayaan tersebut akan mengesahkan JDT sebagai juara Kumpulan B, sekali gus dijadualkan bertemu Selangor FC, naib juara Kumpulan A, di peringkat separuh akhir.
Selangor sebelum ini mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas terikat 1-1 menentang BG Pathum United di Stadium MBPJ, keputusan yang sudah memadai untuk menghantar Gergasi Merah ke kelompok empat terbaik kejohanan.
Aksi antara Nam Dinh dan JDT dijadual berlangsung di Stadium Thien Truong hari ini dengan sepak mula pada jam 8.30 malam.
