Pertembungan separuh akhir pertama Shopee Cup antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Buriram United dijangka berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan tampil dengan misi besar dan persiapan rapi.
Ketua jurulatih JDT, Xisco Muñoz, memilih pendekatan berahsia menjelang aksi penting ini dengan tidak mendedahkan kesebelasan utama yang bakal diturunkan. Strategi tersebut dilihat sebagai usaha untuk mengekalkan elemen kejutan dalam misi memburu kelebihan awal sebelum aksi timbal balik di gelanggang lawan.
Menurut beliau, skuad Harimau Selatan kini berada pada tahap terbaik dari segi mental dan fizikal. Justeru, para pemain dituntut untuk memberikan aksi maksimum sepanjang 90 minit bagi memastikan keputusan positif di laman sendiri.
Rekod pertemuan lampau jelas memberi cabaran buat JDT apabila masih belum mencatat kemenangan ke atas kelab gergasi Thailand itu — dengan dua kekalahan dan dua keputusan seri. Namun, semangat juang tinggi serta kelebihan beraksi di laman sendiri diharap mampu mengubah sejarah tersebut.
“Kami memiliki kapasiti untuk bermain agresif dan mengawal permainan. Perlawanan ini sangat penting dan kami perlu tampil dengan aksi terbaik. Esok adalah malam istimewa dan kami akan turunkan kesebelasan paling kuat,” ujar Muñoz.
Di pihak lawan, ketua jurulatih Mark Jackson menegaskan bahawa pasukannya telah melakukan persiapan menyeluruh bagi menghadapi ancaman JDT.
Beliau mengakui kualiti individu pemain Harimau Selatan mampu memberi masalah jika tidak dikawal dengan baik, namun yakin perancangan taktikal yang telah disusun mampu mengekang kekuatan tersebut.
“Kami menghormati setiap lawan. Kami sudah membuat analisis terperinci terhadap Johor dan pemain mereka. Pasukan kami sudah bersedia sepenuhnya,” katanya.
Pertembungan ini bukan sekadar perebutan slot ke final, tetapi juga ujian sebenar buat kedua-dua pasukan dalam membuktikan kekuatan di pentas Asia Tenggara.
